Lynas perlukan kajian antarabangsa

Posted on May 30, 2011. Filed under: Pollution |

-The Malaysian Insider-

30 MEI — Kerja membangunkan projek Lynas yang sedang berjalan di Gebeng, Kuantan atas bantan penduduk tempatan terpaksa dihentikan dulu.

Kerajaan pun bersetuju membentuk satu badan antarabangsa terdiri dari pakar atom. Tentulah ia akan diselia oleh suruhanjaya atom antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tiada orang dalam negeri dalam pasukan kajian itu bagi memastikan pandangannya bebas dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan.

Ikut kata Menteri Perdagangan AntaraBangsa, Datuk Mustapa Mohamad, tiada orang Melayu, orang Cina dan orang India dalam badan itu.

Apa perlunya kajian itu dibuat oleh orang antarabangsa? Apakah kita tidak percaya kepada orang dalam negeri sendiri? Atau tidak adakah orang dalam negeri yang layak dari segi kelulusan akadamiknya dan berwibawa untuk membuat kajian itu?

Orang Malaysia yang ada pengetahuan itu ada seperti Dr Che Rosli Che Mat, Anggota Parlimen Pakatan Rakyat Hulu Langat, tetapi kerajaan BN tidak yakin akan kebebasannya.

Dan kita juga ada badan menguasai atom malah pernah mewarwarkan untuk mengeluarkan tenaga neuklear sendiri. Tidak bolehkan mereka dipercayai?

Agaknya kerajaan juga tidak yakin badan yang dikuasai kerajaan dan pakarnya dipercayai oleh orang ramai seperti tidak yakin setengah orang tentang wibawa Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua SPR Ketua SPRM dan lain-lain.

Semua mereka ada kelulusan, ada pengalaman, ada latihan seperti latihan tokoh-tokoh negara asing, tetapi kerana mereka adalah pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, maka wibawa dan integriti dipersoal oleh orang banyak bahkan setengah pemimpin dan penyokong Umno pun totok orang makan gaji, bukan sungguh-sungguh berkhidmat untuk profesion masing-masing.

Antara mereka jujur dengan profesionnya tetapi kerana politik Malaysia benar-benar menghidupkan sifat haiwan politiknya, yang jujur pun diborong sebagai hamba Umno belaka.

Lynas dibangkitkan oleh pembangkang sebagai projek melambakkan sisa dan hampas yang tidak berguna yang dikatakan membahayakan alam sekitar dan makhluk bernyawa. Australia telah menolaknya, maka ia dilambakkan pula di Pahang.

Dikatakan projek itu boleh memberi banyak peluang pekerjaan dan menguntungkan. Tetapi mengapa pula Australia menolak tuah yang baik?

Negeri itu adalah negeri Perdana Menteri Najib. Kalau Australia yang rakyatnya peka pada sebarang ancaman kesihatan, mengapa Perdana Menteri Malaysia mudah mengimpotnya ke negeri tok neneknya?

Jarang kerajaan Barisan Nasional prihatin tentang isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. Tetapi Lynas ini memaksa ia menangguhkan kerja yang sudah berjalan bagi memberi laluan kepada kajian pakar antarabangsa.

Pertama bisa-bisa atom itu amat sensitif bagi masyarakat di dunia, dan kedua kita adalah di ambang pilihan raya. Isu yang dibawa pembangkang ini laris untuk pilihan raya.

Boleh dipuji atas prihatin kerajaan itu. Tetapi mengapa diserah bulat kepada pakar antarabangsa saja? Mengapa tidak disertakan denan tenaga pakar dalam negeri sama?

Suka sangat orang negara ini menyerahkan kepercayaan bulat kepada pakar asing. Menjelang kemerdekaan itu kerajaan pimpinan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak menyerah bulat kepada Suruhanjaya Reid yang terdiri dari pakar undang-undang Komenwel untuk merangka perlembagaan negara merdeka.

Begitu ramai ahli undang-undang dalam negeri. Mereka tidak dihargai dan tidak diperlukan. Tanggungjawab dan prihatin orang luar negeri tidaklah sama dengan orang dalam negeri. Sekali pun kita mahukan ia tidak dipengaruhi oleh unsur dalaman, tetapi pandangan dalaman tetap diperlukan.

Rakyat tidak seronok urusan merangka perlembagaan itu diserak bulat kepada geng Orang Putih. Kerana tiada orang dalam negeri dalam lembaga itu, banyaklah yang rakyat rasa perlu diberi perhatian dibiarkan saja. Perlembagaan itu akan lebih indah jika pakar dalam negeri disertakan.

Bukan kita tidak yakin sepenuhnya kepada pakar luar tetapi pakar luar juga ada kalanya mengarut juga. PBB pernah menghantar pakarnya untuk memantau senjata memusnahkan yang dikatakan dimajukan oleh kerajaan Iraq di bawa Saddam Hussein.

Laporannya dipalsukan kononnya senjata itu ada disorokkan. Tetapi setelah Iraq terbuka kepada tentera Amerika dan Nato ternyata senjata itu tidak ada, malah ada pula yang memecahkan rahsia bahawa laporan awal dulu memang dipalsukan.

Ketika orang tahu isu senjata pemusnah itu hanya satu rekaan, Iraq sudah pun jadi padang jarak padang tekukur — Iraq sudah musnah.

Pandangan pakar asing adalah penting, tetapi memberi hak kepada pakar asing saja menentukan sesuatu yang kita ada kepentingan adalah satu penyakit jiwa. Jangan jadikan Malaysia dikenali sebagai bangsa yang sakit jiwa!

* Haji Abdul Subky Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

Advertisements

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: